Friday, 28 October 2011

KPM komited terhadap MBMMBI

 
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) akan berusaha lebih gigih untuk memartabatkan bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan matlamat kerajaan dalam Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program literasi kepada murid sekolah rendah akan lebih tertumpu kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia dalam semua aliran pendidikan.

``Ini bagi memastikan semua murid dapat berkomunikasi dan memahami antara satu sama lain dalam satu bahasa yang akan mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah di kalangan rakyat pelbagai kaum,'' kata ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baru 2010 baru-baru ini.

Menurutnya, KPM juga akan melaksanakan transformasi bahasa Malaysia dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang, dan holistik.

``Untuk berjaya pada peringkat antarabangsa, kita perlu menguasai bukan sahaja satu bahasa malah pelbagai bahasa antarabangsa.

``Bagi tujuan itu, KPM telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan penguasaan dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua negara, lantas dapat meningkatkan keupayaan murid menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi, serta mempersiapkan mereka menghadapi persaingan arus globalisasi, selain menggalakkan murid menguasai bahasa-bahasa antarabangsa lain di dunia,'' jelas beliau yang juga Menteri Pelajaran.

Antara usaha yang dijalankan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan menambah bilangan guru bahasa Inggeris berkualiti melalui latihan perguruan menggunakan jurulatih utama dari luar negara atau penutur jati bahasa tersebut.

Selain itu katanya, penambahan masa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebanyak 90 minit untuk Sekolah Kebangsaan dan 60 minit untuk Sekolah Jenis Kebangsaan membuktikan kesungguhan KPM untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

``Sebanyak empat IPG dan English Language Training Centre (ELTC) telah dikenalpasti sebagai ‘Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris’.

Semua IPG ini akan melaksanakan pelan tindakan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih dan dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2010 dan tahun-tahun berikutnya,'' katanya

sumber maklumat : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment